Tentang travel dan tempat-tempat menarik

Jom shopping

Saturday, 12 April 2014

Saya hampir dilanda kemurungan selepas bersalin






Setahun yang lalu, saya hampir-hampir dilanda kemurungan kerana anak yang saya baru lahirkan tiba-tiba saja jatuh sakit dan terpaksa di tahan di wad selama 21 hari. Hari yang sepatutnya saya dan anak discharge, sungguh tak disangka anak didiagnose sebagai hypoglycemia setelah disedari oleh seorang jururawat ketika ingin memandikan dia. Sebelum itu, saya sudahpun ditahan diwad agak lama, bermula pada malam Rabu, 25 April 2013 kerana air ketuban disyaki bocor. Sumayyah dilahirkan pada 28 April pada jam 1 pagi (pagi Jumaat). Alhamdulillah, anak saya sihat walafiat dan APGAR score nya 9/10. Oleh kerana ingin mengelakkan jangkitan kuman kepada kami berdua, doktor terpaksa melanjutkan lagi tempoh rawatan kami di hospital untuk pantauan teliti. Maka berkampunglah kami bertiga termasuk suami di wad kelas 1. Semasa di wad, Sumayyah terkena jaundice dan doktor terus melakukan rawatan fototerapi. Alhamdulillah, jaundicenya tak teruk dan semakin lama semakin pulih. Namun, lepas satu masalah datang pula masalah lain. Setelah jaundice, Sumayyah terkena hypoglycemia yang sebenarnya bahaya dan boleh membawa koma jika tidak dirawat segera. Keadaan Sumayyah pada waktu itu sangat lemah, sangat kurang menangis, banyak tidur dan pergerakannya sangat-sangat kurang. Tetapi malam-malam sebelumnya dia menjerit dan menangis sangat kuat sehingga jururawat yang bertugas pada waktu itu beberapa kali datang menjenguk Sumayyah. Saya tetap menyusukan Sumayyah seperti biasa. Kerana ilmu tentang penyakit yang sangat kurang dalam diri, saya tidak menyedari Sumayyah sedang mengalami hypogylcemia. Keadaan dia pada waktu itu, bila disusukan dia tidak boleh menghisap. Lantas saya memerah susu dengan teknik marmet dan memberikan susu pada Sumayyah menggunakan sudu. Saya sangat risau juka Sumayyah dehydrated. Setiap setengah jam saya akan berikan dia 7-8 sudu susu. Saya tidak mampu melelapkan mata pada malam itu. Saya mahu Sumayyah kenyang dan mendapat cukup susu.

Keesokan harinya, jururawat datang untuk memandikan Sumayyah dan mengambil sampel darah untuk memeriksa paras bilirubin dalam darahnya. Saya pula ke tandas untuk mandi. Tiba-tiba suami saya datang dengan tergesa-gesa dan menyatakan Sumayyah kurang gula dan nurse minta susu EBM yang masih ada. Saya terkaku seketika. Pada waktu itu di luar bilik, saya melihat doktor dan jururawat sedang kekalutan dan berlari-lari seperti ada kecemasan yang amat sangat. Dalam hati, Ya Allah, anak saya ke yang mereka sedang kalutkan tu? Saya terketar-ketar mencari EBM yang saya simpan di dalam peti ais dan cuba untuk mendapatkan beberapa oz lagi EBM. 

Pada waktu itu Sumayyah sudahpun dihantar ke NICU untuk menerima rawatan. Saya terus membawa EBM ke NICU. Allahuakbar. Sejurus melihat Sumayyah, air mata saya jatuh berguguran dan tangisan saya tak dapat diempang lagi. Saya merasa sangat sayu melihat tubuh saya yang lemah dan tak berdaya itu. Pada tangannya sudah dipasang drip untuk dimasukkan air gula. Sumayyah hanya bergerak sedikit saja, itupun jika diusik-usik. Saya cuba menyusukan Sumayyah sekali lagi, nyatanya dia tak dapat menghisap kerana sangat kekekurangan tenaga. Jururawat sibuk mengambil bacaan gula dan apabila bacaan terpapar, tergambar wajah hampa pada jururuwat itu. Bacaan gula anak saya sangat rendah 2.2 Walaupun sedang dimasukkan air gula. Bacaan gula tetap rendah. Hingga akhirnya doktor terpaksa memasukkan bolus (intravenous (IV) bolus of dextrose) iaitu kandungan gula yang banyak untuk memastikan bacaan gula Sumayyah tidak berada pada paras yang sangat rendah. Setelah setengah jam, bacaan gula akan diambil sekali lagi untuk diperiksa. Alhamdulillah naik sedikit pada paras normal. Namun ia belum melegakan kami kerana untuk memastikan paras gula di paras yang selamat, ia harus mencatat bacaan secara stabil. Jururawat akan mengambil bacaan gula beberapa kali. Allahuakbar, rupanya bacaan gula dalam tubuh Sumayyah tidak stabil. Walaupun sudah dimasukkan air gula, sekejap ia berada pada paras normal, sekejap berada pada paras yang rendah. Ia sangat mencemaskan buat kami. Jururawat dan doktor juga cemas. Setelah beberapa kali tidak stabil, ini kali kedua kami melihat kekalutan  doktor dan jururawat yang sedang merawat Sumayyah ketika itu. Sungguh hypoglycemia ini bahaya dan tidak boleh diambil ringan. 

Saya tak berdaya lagi untuk fikir dan bertahan di situ. Saya tak mampu terus menunggu di situ melihat Sumayyah dalam keadaan yang sangat lemah. Saya sangat takut andainya diamnya Sumayyah pada waktu itu bukan lagi kerana lemah, tetapi kerana dia sudah tiada lagi di dunia ini. Saya meminta suami membawa saya pulang. Saya terasa mahu rebah. Mata yang sudah bengkak itu semakin bertambah-tambah bengkak dek kerana saya yang tidak henti-henti menangis sejak dari tadi. Saya hilang selera makan. Di rumah, saya hanya menangis, menangis dan terus menangis. Suami saya juga menangis. Kami berasa sangat sedih dengan keadaan Sumayyah dan rindu pada suaranya yang dah lama kami tak dengar. Namun suami saya katakan pada saya, dia juga sedih dan tak kuat tetapi kerana saya, dia perlu kuatkan hati dan beri sokongan kepada saya.

bersambung....

No comments:

Post a Comment