Tentang travel dan tempat-tempat menarik

Jom shopping

Thursday, 10 March 2016

Gangguan perasaan atau meroyan selepas bersalin?




Gangguan perasaan atau meroyan selepas bersalin


Kali ini, saya nak berkongsi sedikit  tentang gangguan perasaan  kepada ibu-ibu selepas bersalin. Ya, ia wujud dan tidak boleh dipandang remeh. Gangguan perasaan ibu-ibu selepas bersalin  boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Postpartum Blues, Postpartum Depression dan Postpartum Psychosis. Kita masyarakat melayu ni sudah tentu biasa dengan perkataan meroyan selepas bersalin kan? Ikut pemahaman saya meroyan selepas bersalin adalah di kategori ke dua dan ketiga iaitu postpartum depression dan postpartum psychosis. 



Anda pasti selalu dengar kes-kes ibu baru bersalin yang membunuh anaknya, atau ibu baru bersalin yang membunuh dirinya? Atau ada ibu baru bersalin yang tiba-tiba tak mengaku anak yang dilahirkan adalah anaknya atau tina-tiba jadi benci pada bayi yang baru dilahirkan? Pernah bertemu kes ibu baru bersalin yang banyak termenung, menangis dan memencilkan diri malah tidak mempedulikan bayinya? Bagi saya kes-kes seperti ini adalah gangguan perasaan tahap kedua dan akhirnya melarat membawa kepada gangguan perasaan tahap ketiga.





Gangguan perasaan tahap pertama: postpartum blues/ baby blues

Dialami kebanyakan ibu yang bersalin, (kira-kira 80-85%), selebihnya tidak mengalaminya lansung. Ia berlaku selepas beberapa hari atau seminggu selepas bersalin dan boleh mengambil masa sehingga dua minggu.

Antara krisis yang berlaku ialah perubahan selera makan samaada meningkat atau berkurang, sukar untuk tidur, terasa letih, berasa resah, sensititif, risau dan emosi yang berubah-ubah. Antara punca  postpartum blues berlaku kerana perubahan hormon yang mendadak. Sewaktu hamil hormon progesteron dan estrogen berada pada paras yang tinggi. Selepas bersalin, hormon tersebut turun mendadak dan tubuh sedang menyediakan diri untuk proses penyusuan bayi. 

Faktor berlaku postpartum blues

Selain itu, antara faktor berlaku postpartum blues ialah kerisauan ibu terhadap keupayaannya dalam menjaga dan membesarkan anak dan rutin harian yang berubah secara tiba-tiba. Ada juga ibu yang menjalani proses berpantang yang terlalu ketat dan ini membuatkan ibu merasa terkongkong dan tertekan. Terdapat juga sebilangan ibu yang terpaksa berpantang secara sendirian dan menguruskan anak yang baru lahir tanpa bantuan. Kesukaran selepas bersalin seperti luka jahitan yang terbuka dan membuatkan ibu takut untuk membuang air besar juga sedikit sebanyak menyumbang kepada postpartum blues.  Gangguan perasaan dalam bentuk postpartum blues adalah normal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ia akan reda dan emosi ibu akan kembali kepada sediakala beberapa hari kemudian.

Gangguan perasaan tahap kedua: postpartum depression 



Postpartum depression  atau kemurungan adalah keadaan di mana gangguan perasaan berlaku dengan mendalam dan berpanjangan kepada  kira-kira 10% (satu dari lapan orang) wanita yang baru bersalin. Ini yang dinamakan meroyan dalam masyarakat melayu.  Krisis ini perlu dibawa kepada rujukan pakar kerana ia sebenarnya adalah krisis emosi yang agak teruk jika dibandingkan dengan postpartum blues. Biasanya masalah ini  berlaku kerana ibu mengalami peristiwa buruk seperti kematian anak selepas bersalin, kematian anak semasa dalam kandungan,  kehilangan ahli keluarga terdekat atau ahli keluarga jatuh sakit, suami curang semasa dalam pantang, anak yang baru dilahirkan jatuh sakit dan kehilangan anak kerana diambil pihak lain. Ibu-ibu yang mengalami postpartum depression perlu dibawa berjumpa doktor kerana jika tidak ditangani akan melarat kepada postpartum psychosis.


Gangguan perasaan tahap ketiga: postpartum psychosis 


Postpartum psychosis pula adalah gangguan perasaan atau meroyan yang paling teruk dan melibatkan masalah mental atau kejiwaan. Kes ini perlu dibawa bertemu pakar psikiatri untuk diberi rawatan. Ia berlaku kerana gangguan perasaan atau masalah kemurungan yang melarat dan tidak dirawat segera. Masyarakat Melayu menggelar penyakit ini sebagai Gila Meroyan. Ibu akan mengalami delusi (persepsi/ kepercayaan) dan halusinasi  antaranya tidak percaya bayi itu anaknya sendiri, membenci bayi, menyangka anaknya berbahaya dan perlu dibunuh, menyangka anaknya cacat sedangkan anaknya sihat. Ia jarang berlaku dan hanya 1-2 orang ibu dari 1000 orang sahaja yang mengalaminya


Insya Allah di entry akan datang saya akan menulis simptom dan tips mengatasi gangguan perasaan ibu selepas bersalin.

No comments:

Post a Comment