Kali ni nak cerita tentang tips memilih taska. Saya tiada pengalaman
lagi menghantar anak ke taska. Tapi saya ada pengalaman masa bujang dulu
selalu teman kawan hantar dan ambil anaknya di taska.
Ramai juga
kawan-kawan yang cerita tentang pengalaman anak mereka di taska, jadi
apalah salahnya saya berkongsi serba sikit tentang ni. Saya ambil
intipati tajuk ni dari majalah Pa & Ma dan common sense saya yang
ada anak kecil.
Mudah-mudahan dapat jadi panduan sedikit sebanyak kepada
ibu bapa yang sedang mencari dan memilih taska untuk anak masing-masing.
Jom kita tengok checklist ini
1. Pilih taska yang berdaftar dengan JKM. Penting kerana JKM ada standard mereka sendiri untuk meluluskan
sesuatu pihak itu membuka taska. Contohnya, di kedudukan mana taska itu
akan dibuka? Jika betul-betul di hadapan jalanraya yang sibuk dengan
kenderaan, nampaknya ia bukanlah taska yang sesuai untuk anak anda.
2. Sebolehnya cari pengusaha taska yang ada background pendidikan awal
kanak-kanak, atau sekurang-kurangnya pernah mengikuti kursus asuhan
kanak-kanak dan memiliki sijil tersebut.
3. Adakah pekerjanya ada ilmu asas kanak-kanak atau pernah mengikuti
kursus asuhan kanak-kanak? Berapa umur pekerjanya (pengasuh), adakah
mereka suka pada kanak-kanak? Berapakah nisbah pengasuh yang menjaga
kanak-kanak. Kalau seorang pengasuh jaga 20 orang kanak-kanak, ayyo,
boleh pengsan.
Nisbah kanak-kanak dan pengasuh adalah seperti berikut:
Usia satu tahun ke bawah, 3 kanak-kanak -1 pengasuh (3: 1)
Usia satu hingga dua tahun, 5 kanak-kanak-1 pengasuh (5: 1)
Usia dua hingga empat tahun, 10 kanak-kanak- 1 pengasuh ( 10: 1)
Nisbah kanak-kanak dan pengasuh: Sumber foto: www.jkm.gov.my |
4. Berapa orang bayi dan kanak-kanak yang ditempatkan di taska tersebut?
5. Bila waktu makan kanak-kanak di taska itu, kalau boleh dapatkan
jadual waktu supaya kita tahu adakah taska tersebut bekerja dengan
sistematik. Apakah menu makanan yang disediakan? Adakah berkhasiat dan
sesuai dengan keperluan kanak-kanak yang sedang membesar?
6. Masuklah ke dalam taska dan perhatikan keadaan taska. Adakah semua
bayi dan kanak-kanak diletak dalam satu ruang yang sama atau diasingkan?
7. Lihat kepada ruang taska, pengudaraan, keselamatan dan kebersihan taska. Lebih baik sekiranya taska tersebut memasang CCTV untuk pantauan.
8. Lihat sama anda anak anda tidur di atas tilam atau katil bayi. Jika
tilam, lihat adakah bersih dan tidak berbau? Kebersihan di taska penting
kerana kebanyakan punca jangkitan bermula dari taska.
9. Lihat kepada aspek keselamatan taska. Di ruang bayi diletakkan,
adakah barang-barang yang bersaiz kecil seperti duit syiling atau
permainan kecil kelihatan bersepah di sana sini? Sekiranya ia berlaku
amatlah bahaya kerana ini akan menyebabkan bayi tercekik apabila
tertelan barang-barang tersebut.
Bagaimana pula dengan perabot, wayar eletrik dan soket dalam keadaan selamat, peralatan dan barang bahaya seperti pisau, cerek, spray dan lain-lain,
adakah ia diletakkan di tempat yang sukar dicapai kanak-kanak? Perabot
di taska adakah selamat atau berbucu tajam?
Kanak-kanak yang aktif dan
sedang membesar sudah tentu suka berlari ke sana sini. Jadi eloklah
mencari taska yang menyediakan perabot yang selamat untuk kanak-kanak.
Bagaimana dengan pagar taska? Adakah sentiasa ditutup dan dikunci?
Pengusaha taska perlu berhati-hati dengan perkara ini memandangkan
terlalu banyak kes penculikan kanak-kanak di sana sini.
10. Pastikan pengusaha taska memiliki nombor anda, nombor kecemasan bomba, polis dan hospital.
11. Sekiranya anda menyusukan bayi, cari taska yang mesra penyusuan susu ibu dan mereka terlatih dalam menguruskan EBM.
12. Sekiranya anda menyusukan bayi, seeloknya pilih taska yang
berdekatan tempat kerja agar anda boleh menyusukan bayi secara direct
pada waktu rehat.
13. Perhatikan akhlak pengasuh. Adakah mereka menutup aurat dan
berakhlak baik? Ada taska berhampiran rumah emak saya (saya selalu
perhatikan dari jauh), pengasuhnya memakai pakaian yang menjolok mata.
Pernah sekali saya perhatikan cara mereka menepuk bayi (mungkin nak
tidurkan) yang dijaga agak kasar . Terkejut saya.melihatnya.
Kanak-kanak cepat belajar dari orang dewasa, tambahan pula masa mereka
banyak dihabiskan dengan pengasuh, jadi seeloknya carilah pengasuh yang
dapat membentuk nilai murni dan akhlak mulia dalam diri anak.
14. Sekali sekala buat pemeriksaan mengejut kepada taska. Sekiranya
mereka kelihatan kelam kabut dan lambat mengizinkan anda masuk mesti ada
sesuatu yang disembunyikan.
Sebenarnya banyak lagi kriteria taska yang baik. Saya hanya
menyenaraikan ciri-ciri yang umum. Ia belum termasuk aspek pendidikan.
Bila menghantar anak ke taska berusahalah untuk mencari taska yang
memenuhi ciri-ciri seperti di atas agar anak anda mendapat nilai asuhan
yang baik sekaligus mengelakkan kes kemalangan bayi dan kanak-kanak di
taska.
Apapun pergantungan kepada Allah tidak boleh diketepikan. Banyak
berdoa agar bertemu taska yang baik, serta keselamatan anak di taska
dipelihara. Semoga 14 tips memilih taska untuk anak ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam membuat pilihan.
anda boleh semak senarai taska yang berdaftar di JKM di sini Senarai taska yang berdaftar dengan JKM.
Untuk bahan bacaan lain tentang tips memilih taska, 5 steps to a safe nursery
No comments:
Post a Comment