Kampung Parit Yob terletak di daerah Yong Peng, Johor. Kampung ayah saya dibesarkan. Semasa kecil sehingga menginjak remaja dulu, kami kerap pulang ke kampung untuk menjenguk datuk dan nenek yang kini telah kembali ke Rahmatullah. Pengalaman menarik yang manis untuk dikenang.
Kampung datuk dan nenek saya dahulunya diperbuat dari kayu semata-mata. Ada tangga tinggi untuk naik ke bahagian depan atau ruang tamu rumah. Bahagian dapur juga kayu. Rumah kampung yang diperbuat dari kayu selalunya ada lubang-lubang di celah kayu yang apabila malam, mesti terbayang-bayang ada makhluk yang mengendap kami. Tak kisahlah makhluk bernama manusia atau makhluk lain. Seram wei.
Waktu siang, rumah terasa panas manakala bila menjelang malam hingga ke subuh, cuaca menjadi begitu sejuk hinggakan perlu berselimut dari kaki sampai kepala. Atap zink yang membumbungi rumah menjadikan rumah terasa bahang dan menjadi sangat sejuk pula bila menjelang malam.
Kampung yang di kiri dan kanannya parit
Kampung
orang jawa selalunya ada parit. Sistem perparitan ini digunakan untuk
mengairi kebun dan ladang-ladang mereka.
Takut nak ke tandas
Tandas rumah datuk dan nenek terletak di luar,. Tandas untuk mandi terletak dihadapan rumah manakala tandas untuk membuang air besar terletak nun jauh di belakang rumah berdekatan dengan ladang kelapa sawit yang turut dikelilingi oleh semak samun. Kalau siang tak berapa takut sangat, tetapi bila malam memang seram dan takut. Tapi abah setia menemani kami siang mahupun malam apabila sakit perut datang menjengah. Terima kasih abah kerana melindungi dan menjaga kami. Kadang-kadang abah hanya korekkan tanah untuk kami qadha'hajat sekiranya sudah terlalu lewat malam. Hahah, kelakar sangat, tapi masa tu kami masih kecil lagi. Sekitar umur 4-5 tahun.
Di belakang rumah pula ada beberapa tempayan air yang digunakan untuk menadah hujan. Waktu itu air di tempayan memang kerap digunakan tapi saya tak ingat pula untuk tujuan apa.
Tak jauh dari rumah datuk dan nenek ada sebuah perigi buta (yang telah kering dan ditimbus tanah) yang dikatakan satu masa dahulu pernah ada kanak-kanak lemas di situ. Budak-budak kan kalau dengar cerita-cerita macamni memang akan rasa takut. Bila nampak je perigi buta terus meremang bulu roma.
Bila arwah datuk nak ke kedai pasti dibelinya kami jajan. Kadang-kadang saya ikut juga arwah datuk ke kedai. Ada sebuah basikal tua dan fesyen lama yang saya gunakan untuk bersiar-siar di sekitar rumah datuk.
Arwah nenek akan bangun awal pagi dan siapkan sarapan. Dalam pukul 6.30 pagi, sarapan dah siap terhidang. Arwah datuk dan nenek saya merupakan penoreh getah kerana itu bangun awal pagi, menyiapkan sarapan pagi dan bersiap-siap ke kebun merupakan satu rutin mereka bertahun-tahun.
Bahagian dapur kayu arang digunakan untuk aktiviti masak memasak. Saya masih ingat bagaimana arwah nenek menggunakan dapur kayu untuk masak air dan makanan.
Dan saya masih ingat lagi rumah datuk dan nenek ini menggunakan lampu minyak tanah untuk menerangi rumah.
Kini semuanya tinggal kenangan. Pengalaman unik yang telah hilang ditelan zaman. Semoga semua kenangan itu kekal dalam ingatan dan nanti bolehlah saya ceritakan pada anak dan cucu bagaimana indahnya memori semasa kecil di rumah arwah datuk dan nenek.
dapur arang?? perghh..
ReplyDeletenabilah tak ingat la plak ada dapur arang ke tak kat umah nenek?
rasanya dapur gas je yg ada...huhu
haah dapur arang. akk ingat lagi, macam ada pangkin khas kt tepi dapur..kt situ la letak kayu api untuk masak
Delete